Pelancaran Pusat ICT Mara ( MARA Digital )



KEWUJUDAN Mara Digital bukanlah untuk menandingi mana-mana pusat perniagaan ICT, namun ia dilihat sebagai alternatif kepada pengguna dan membuka ruang khususnya kepada usahawan Bumiputera.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mara Digital adalah projek perintis Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membuktikan usahawan Bumiputera boleh berjaya jika diberi ruang dan peluang.

"Digital Mara sama seperti pusat perniagaan ICT yang lain. Mereka menjual get dan aksesori yang sama.
"Cuma, ini sebagai pilihan sahaja. Kalau ada rasa selesa nak beli di tempat lain, silakan. Jika mahu membeli di sini, pun tak ada masalah. Inilah yang dikatakan bersaing secara sihat," katanya selepas merasmikan Mara Digital, di Menara Mara Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, walaupun ada segelintir pihak menggambarkan pusat itu hanya mampu bertahan selama tiga bulan, namun beliau beri jaminan ia akan berterusan, malah akan buka cawangan sama di tempat lain pula.
"Kita jangan dengar cakap-cakap Mara tidak mampu bertahan. Anggap ini sebagai cabaran untuk terus maju. Saya yakin dengan apa yang Mara lakukan hari ini, akan melahirkan lebih ramai usahawan dari kalangan Bumiputera khususnya dalam bidang ICT ini.

"Saya anggap projek ini sebagai permulaan. Selepas ini, kita akan buka lagi Digital Mall di negeri lain pula," katanya.

Ditanya mengenai konsep yang seakan sama serta ia diberi julukan sebagai Low Yat 2, beliau menegaskan konsep sebegitu memang sama dengan semua pusat perniagaan ICT.

"Memang saya pernah kata 'ala Low Yat' tapi bukan Low Yat 2. Saya katakan begitu, supaya masyarakat faham maksud saya mahu dirikan pusat perniagaan yang seumpama itu.

"Mengenai konsep, kebanyakan pusat perniagaan ICT memang sama konsepnya begini. Saya tidak fikir ia salah dan pengguna mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli," katanya. Jelasnya, peniaga di situ dikecualikan membayar sewa selama enam bulan. 

"Jadi, peniaga-peniaga ini perlu melakukan promosi untuk menarik lebih ramai pengunjung di sini.
"Inilah kesempatan buat mereka untuk meyakinkan pengguna mengenai produk-produk mereka," katanya.

Pusat ICT Mara itu berperanan sebagai hab perniagaan ICT dengan menawarkan semua barangan dan perkhidmatan digital bagi keperluan pengguna.

Mara Digital terletak di Aras 3 Bangunan Mara dan menempatkan 38 usahawan Bumiputera dalam bidang IT.


 Sumber : Sinar Harian


Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan