Sejarah Kampung Tanjung Rimau Dalam


Assalamualaikum.....

Saya telah tinggal di kampung ini sejak dalam bedung lagi.  Kampung Tanjung Rimau Dalam ini berada di tengah-tengah laluan utama dari daerah Alor Gajah ke daerah Tampin, Negeri Sembilan. Walaupun saya dilahirkan di Muar, Johor, namun jiwa "kemelakaan" itu sudah sebati dalam diri. Kampung ini merupakan kampung keluarga sebelah ayah saya. Jika di kampung, saya lebih dikenali sebagai "cucu arwah cikgu Manaf".

Uniknya ketika zaman persekolahan, saya memiliki profil peribadi yang jarang dimiliki oleh seseorang.  Dilahirkan di Johor (Hospital Daerah Muar), tinggal di Melaka (Kampung Tanjung Rimau Dalam) dan bersekolah di Negeri Sembilan (Sekolah Kebangsaan Tampin & Sekolah Menengah Kebangsaan Tampin).

Disebabkan nama kampung yang unik, maka beberapa syarikat produksi filem memilih kampung ini sebagai salah satu lokasi penggambaran drama.  Antara yang paling popular ialah drama "Pendekar Tanjung Rimau" dan beberapa lagi drama yang saya tidak ingat tajuknya.  Kebanyakkan drama berkenaan disiarkan di TV1.

Dalam artikel kali ini, saya ingin berkongsi sejarah mengenai asal usul nama Kampung Tanjung Rimau Dalam ini.  Terdapat dua versi cerita yang disampai dari generasi ke generasi iaitu :

Versi pertama :

Nama Tanjung Rimau diberi apabila wujudnya seekor harimau jadian di kampung ini. Diceritakan bahawa harimau ini sering muncul apabila berlakunya kesusahan yang dialami penduduk kampung ini. Binatang ini akan membantu penduduk kampung jika berlakui kejadian seperti dirompak, diganggu oleh kedatangan pihak musuh.

Versi kedua :

Suatu ketika dahulu, sekumpulan orang yang berketurunan raja yang diketuai oleh Panglima Hitam lari melalui sungai dan berehat seketika di sebuah tanjung. Apabila beliau naik sahaja ke daratan (ke tanjung tersebut), beliau amat terkejut apabila mendapati seekor harimau bermata satu sedang duduk di busut.

Beliau segera mengarahkan anak buahnya supaya pergi jauh dari harimau tersebut. Setelah beliau berehat seketika (di bawah pohon chenai) beliau mendapati tempat itu amat menarik perhatiannya. Sesuai sekali untuk manusia tinggal dan melaksanakan aktiviti pertanian.

Panglima Hitam terus mengambil keputusan untuk tinggal disitu dan menamakan tempat itu Tanjung Harimau. Tahun berganti tahun, hari berganti hari, nama harimau yang menjadi mitos ini telah dipendekkan namanya menjadi Tanjung Rimau.

Demi memberi penghormatan pada Panglima Hitam, 
salah satu surau di kampung ini diberikan nama Surau Panglima Hitam.

Di dalam kawasan kampung ini terdapat kubur-kubur lama dan ada antaranya mempunyai jenis batu nesan yang tinggi dan tidak bernama serta jenis batu nesan bercorak ukiran dari Aceh.

Selain itu terdapat juga rumah keluarga arwah datuk kepada bekas penyanyi kumpulan nasyid Brothers iaitu Yasin dan rumah pusaka datuk-nenek kepada arwah pelakon Hussin Abu Hassan.

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan