Ucapan hari raya Aidilfitri dari blogger Alor Gajah, Melaka


Assalamualaikum....

Hari ini yang bertarikh 30 hari bulan 8 tahun 2011 bersamaan dengan 1 Syawal 1432 Hijrah merupakan antara hari mulia yang sepatutnya disambut dengan penuh rasa rendah diri kepada Allah S.W.T, Tuhan segenap alam.

Setelah kita dihadiahkan dengan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan ganjaran pahala yang terbanyak pada umat Nabi Muhammad ini, kita dikurniakan pula satu bulan untuk kita berterima kasih kepada Allah S.W.T.  Kegembiraan yang dikecapi dalam bulan Syawal ini haruslah berkesinambungan dari ketaqwaan kita semasa di bulan Ramadhan yang lalu.  Bagi anda yang sudah mencapai pengertian Ramadhan dalam qalbu, pasti anda akan terasa sayu untuk meninggalkan bulan tersebut dan akan rasa rindu untuk bertemu dengannya lagi.

Seperti di dalam bulan Ramadhan, bulan Syawal juga tidak terkecuali dari sikap manusia yang membuat pembaziran.  Hal ini dapat dilihat semasa kunjungan atau lawatan ke rumah saudara mara dan jiran tetangga.  Makanan yang tidak pasti sedap atau tidak dan yang tak pasti kena atau tidak dengan selera.., diambil dengan seadanya.  Apabila tidak berkenan dihati, tidak mesra di lidah makanya akan berlakunya pembaziran makanan.  Begitu juga jika memenuhi jemputan jamuan hari raya dari mana-mana jabatan kerajaan, swasta mahupun orang perseorangan. Masih, masih dan masih juga berlaku pembazairan...

Tidak sedarkah kita ada umat lain di negara-negara sebelah Arfika ataupun di negara-negara di sebelah Asia yang orang Islamnya menjadi minoriti penduduk negara berkenaan begitu sukar untuk mendapatkan makanan yang mencukupi untuk keperluan seharian.  Tidakkah kita akan menangis bila melihatkan timbunan nasi dan lauk yang dibuang ke dalam tong sampah....?

 

 Pembaziran sebenarnya mempunyai ruang lingkup yang luas dan ianya tidak hanya tertaklut pada makanan serta minuman semata-mata.  Ia juga berkait dengan sesuatu yang bersifat fizikal mahupun perbuatan seperti masa, pakaian, pangkat, kuasa politik, keimanan dan sikap seharian manusia.

Contohnya semasa kempen pilihanraya, terbukti banyak wang telah dibelanjakan untuk memancing undi, membuat iklan-iklan yang memburukan pihak seteru pemerintah serta membuat beberapa "lakonan sandiwara" bagi menegakkan benang yang basah.  Surat khabar yang sepatutnya mendidik anak bangsa dengan hasil penulisan yang berwibawa dan berilmiah, dibazirkan dengan mentransformasikan surat khabar berkenaan menjadi surat khabar lucah dan penuh dengan fitnah serta adakalanya boleh menimbulkan provokasi dan ketegangan antara kaum.

Oleh itu sempena kehadiran Syawal yang sepatutnya hati nurani anda sudahpun dibersihkan semasa bulan puasa lalu, kita bersama-sama ketahui bahawa kita sudah sampai masa untuk berubah ke arah cara hidup Islam yang dianjurkan oleh Nabi dan Rasul kita, Muhammad S.A.W.  Kita adalah umat terpilih dari kalangan umat-umat terdahulu untuk menikmati ganjaran pahala paling lumayan dan terjamin masuknya ke syurga jika mentaat perintah Allah S.W.T.  Nikmatilah Ramadhan dan Syawal dengan rasa betapa hinanya kita manusia lemah yang tiada punya apa yang hanya mengharap belas ehsan dari Penciptanya.  Tanpa Rahmat, hidayah dan kasihNya itu, maka tiada maknalah hidup kita di muka bumi ini....

Jamuan taraweh terakhir di Masjid Kampung Hulu, Melaka

 


Assalamualaikum....

Pada hari Ahad malam (28/08/2011), saya berkesempatan untuk menunaikan solat sunat taraweh yang terakhir di Masjid Kampung Hulu, Melaka.  Masa yang pantas berlalu sehinggakan terasa kejap benar kita berada di dalam bulan ramadhan yang penuh dengan pengampunan dan rahmat dari Allah S.W.T....

Saya dapat merasakan kesayuan apabila menunaikan solat sunat taraweh terutamanya tika menuju ke rakaat terakhir.  Dimaklumkan sekali lagi bahawa di Masjid Kampung Hulu, Melaka mengadakan solat sunat taraweh sebanyak 20 rakaat dan solat witir 3 rakaat (2 + 1).

Alhamdulilah.., sempena hari terakhir taraweh, jamuan yang disediakan juga menarik untuk dimakan beramai-ramai iaitu nasi beriyani lauk ayam yang dibeli serta dipek khas berjenama "Bukhara Briyani".  Dan semestinya nasi berkenaan dilambakkan di dalam dulang untuk dimakan bersama-sama dengan jemaah yang lain. 

Satu dulang dikongsi empat orang dan minuman sentiasa terbaik dari ladang, yang disediakan sejak awal ramadhan hingga ke malam ini iaitu air tembikai, ditambah lagi dengan air teh panas.... Tiap seorang jemaah juga berkesempatan untuk membawa pulang satu bungkus nasi beriyani (bekas polistren).

Video clip ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri dari Irfan Khairi Sdn Bhd


Assalamualaikum...

Umum sedia maklum bahawa Irfan Khairi adalah pencetus revolusi serta ledakkan peningkatan perniagaan internet di Malaysia dengan pencapaiannya menjadi jutawan pada usia 25 tahun.  Kini beliau mungkin tidak lagi menjual peta atau lain-lain barangan tetapi kini lebih kepada memasarkan ilmu dan pengalaman yang dimilikinya kepada anda yang berminat untuk menceburi perniagaan melalui internet.

Sempena musim perayaan Aidilfitri yang akan menjelang pada 30 haribulan Ogos tahun 2011, Irfan Khairi dan para pekerjanya telah membuat satu video ringkas ucapan hari raya untuk tatapan anda.  Kata Irfan Khairi : 

"Diri sendiri dan kad raya tidak dapat bersama, oleh itu, video ini menjadi pengganti..."

 Tips menonton : tunggu video habis "loading..."
 
 
 **p/s: ada sifat kelakar dalam diri "orang kaya" ini...  :-)

Senarai Lebuhraya di Malaysia

 
**Jika lalu di lebuhraya ataupun jalan lama di Karak, pasanglah lagu "Pusara Di Lebuhraya - Ekamatra"... 
Apa yang anda fikirkan..?

 
**Anda kenal kereta ini...? 
Apakah Mr.Bean sudah tukar warna cat keretanya...?


Assalamualaikum...

Sempena musim perayaan, pastinya jalanraya di sekitar bandar utama akan lengang kerana warga kota pulang bercuti ke kampung.  Dan lebuhraya pula yang akan menerima aliran trafik yang maha hebat sesaknya.

Pelbagai destinasi yang ditujui akan melalui lebuhraya tertentu yang akan menjimatkan masa berbanding dengan jalan-jalan lama.  Tetapi adakah anda sedar berapa jumlah lebuhraya yang ada di Malaysia? Tahukah anda nama-nama lebuhraya berkenaan...?  Jika tidak pasti, di bawah ini saya sediakan senarai beberapa lebuhraya yang ada di Malaysia beserta syarikat yang menguruskannya :

Jambatan Pulau Pinang (E36)
Penang Bridge Sdn. Bhd.

Lebuhraya Utara Selatan (E1 & E2)
Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad

Lebuhraya Shah Alam (E5)
Konsortium Expressway Shah Alam Selangor Sdn Bhd (KESAS SDN BHD)

Lebuhraya Seremban - Port Dickson (E29)
Plus Expressway Berhad

Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia - Singapura (E3)
Linkedua (M) Sdn. Bhd. (LINKEDUA)

Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak (E8)
MTD Prime Sdn Bhd

Lebuhraya Butterworth - Kulim (E15)
Konsortium Lebuhraya Butterworth - Kulim Sdn Bhd (KLBK SDN BHD)

Lebuhraya Cheras - Kajang (E7)
Syarikat Grand Saga Sdn. Bhd.

Lebuhraya Kajang SILK (E18)
Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang Sdn. Bhd (SILK)

Lebuhraya Damansara - Puchong (E11)
Lingkaran Transkota Holdings Bhd. (LITRAK)

Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (E30)
Lebuhraya Shapadu Sdn. Bhd.

Lebuhraya Bertingkat Ampang (E12)
Projek Lintasan Kota Sdn Bhd

Lebuhraya Sungai Besi (E9)
Besraya (M) Sdn. Bhd.

Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (E17)
Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (Penang) Sdn Bhd

Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik KL - Barat (E23)
Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn. Bhd. (SPRINT)

Lebuhraya Baru Pantai (E10)
New Pantai Expressway Sdn. Bhd.

Lebuhraya Koridor Guthrie (E35)
PROLINTAS Expressway Sdn. Bhd.

Lebuhraya Pantai Timur (Fasa 1) (E8)
MTD Prime Sdn. Bhd.

Lebuhraya Hubungan Timur Barat (E37)
Metramac Corporation Sdn Bhd

Lebuhraya Utara Selatan (Terbuka)
Projek Lebuhraya Utara Selatan Bhd. (PLUS)

Terowong SMART (E38)
Syarikat Mengurus Air Banjir & Terowong Sdn. Bhd.

Lebuhraya KL - Putrajaya (E20)
Maju Expressway (MEX) Sdn. Bhd

Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) E22
Senai-Desaru Expressway Berhad

Lebuhraya Kajang Seremban
Lebuhraya Kajang - Seremban Sdn. Bhd.

Lebuhraya Duta Ulu Kelang (E33)
Konsortium Lebuhraya Utara-Timur Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (KESTURI)

Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE)
SKVE Holding Sdn. Bhd.

Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LKSA)
Projek Lintasan Shah Alam Sdn. Bhd

Lebuhraya Kajang - Seremban (E21)
Lebuhraya Kajang - Seremban Sdn. Bhd.

Lebuhraya Kajang - Seremban (LEKAS) ~ Pakej 2B & Pakej 3
Lebuhraya Kajang - Seremban Sdn. Bhd.

Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (KLKS)
KL - Kuala Selangor Expressway Bhd.

Huraian, niat serta cara menunaikan solat sunat Aidilfitri

 
Apa jua jenis solat yang dikerjakan amat digalakkan berjemaah, solat jenazah apatah lagi... 


Assalamualaikum...

Dalam beberapa ketika, dilihat Ramadhan hampir pergi meninggalkan  kita, bermohonlah pada Allah S.W.T agar kita dapat "berjumpa" lagi dengan bulan Ramadhan di tahun hadapan.

Kali ini saya ingin berkongsikan maklumat yang berkaitan dengan solat sunat Aidulfitri.  Ada dari kalangan kita yang kurang berkeyakinan setiap kali tibanya solat sunat Aidilfitri ini. Maklumlah sunat ini dikerjakan hanya setahun sekali ( ada tahun sebelum ini kita menyambut Aidilfitri dua kali setahun ).  Jadinya adalah yang terlupa niat dan cara mengerjakannya.  

Berikut adalah penerangan mengenai solat sunat Aidilfitri :

1.Solat Sunat Aidilfitri dilakukan pada pagi 1 hari bulan Syawal setiap tahun.


2. Waktunya pula ialah bermula dari terbit matahari hingga sebelum tergelincir matahari.


3. Hukum Solat Sunat Aidilfitri ini adalah Sunat Muakkad (sunat yang sangat dituntut), bagi lelaki dan perempuan yang bermukim atau bermusafir.


Perkara sebelum, semasa dan selepas Solat Sunat Aidilfitri :


1. Selepas menunaikan solat subuh, disunatkan kita mandi sunat Aidilfitri, dengan membaca basmalah dan niat dihati “sahaja aku mandi sunat aidilfitri pada tahun ini kerana Allah swt”.


2.Lalu bersiaplah dengan sunat juga memakai wangi-wangian (yang tiada alkhohol). Dan pakaian yang cantik, jika tiada yang baru yang lamapun boleh tetapi biarlah pakaian yang masih elok, tetapi yg penting mesti bersih dan suci daripada najis.


3. Setelah siap  berpakaian disunatkan juga kita makan terlebih dahulu sebelum ke masjid.


4. Adalah lebih afdal jika kita bergeraklah awal ke masjid / surau dengan langkah kanan utk menunaikan solat sunat tersebut.


5. Setelah tiba di masjid / surau, berniat iktikaf, dan sebelum duduk solatlah sunat tahhiyatul masjid.


6.Hanya duduk dan mengulang2kan ucapan takbir sehingga imam bangun untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.


NIAT SOLAT HARI RAYA :

أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ / لِعِيْدِ الأَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى

Maksudnya : Sahaja aku menunaikan AidilFitri / Adha dua rakaat kerana Allah Taala. (niat solat boleh dilafazkan dalam Bahasa Melayu atau bahasa yang kita faham)



7.Pada Rakaat pertama kita dikehendaki supaya takbir sebanyak 7 kali iaitu selepas takbiratul ihram dan doa iftitah. Pada setiap kali takbir kita dianjurkan supaya membaca tasbih berikut :

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر

8.Kemudian di baca Al-Fatihah dan surah. Surah yang dianjurkan ialah surah Qaf atau Al-A'la atau Al-Kafirrun.

9.Pada Rakaat kedua pula dikehendaki supaya takbir sebanyak 5 kali. Pada setiap kali takbir kita dianjurkan supaya membaca tasbih. Kemudian di baca Al-Fatihah dan surah. Surah yang dianjurkan ialah surah Al-Qamar atau Al-Ghasyiah atau Al-Ikhlas.

10.Selepas selesai solat, imam akan menyampaikan khutbah Hari Raya Aidilfitri.  Amat dituntut untuk kita mendengar khutbah Hari Raya sehingga selesai.

11.Kemudian, selepas melawat kubur, bolehlah kita bersiap sedia menerima tetamu ataupun berkunjungan ke rumah sanak saudara dan jiran yang terdekat.

Facial muka sempena hari raya di Crystal Spa & Beauty

   
**Gambau Kiri : bintik kekuningan itu adalah kuman @ ulat resdung kulit yang dah mati.
** Gambau Kanan : setelah muka dicuci, dipakaikan masker bagi menyejuk dan menutupi semula liang roma di muka.

 Assalamualaikum...

Adakah anda seorang yang menjaga kesihatan muka ataupun penampilan di wajah anda?.  Saya telah mula menjaga kulit muka sejak di zaman sekolah menengah iaitu menggunakan pembersih muka Follow Me - buah kiwi.  Produk berkenaan serasi dengan kulit saya.

Dan semenjak saya memulakan perusahaan servis komputer di Kompleks Hang Tuah, Melaka ini, saya telah berkawan dengan pemilik spa dan bermulalah episod baru penjagaan muka.  Hampir setiap bulan, jika ada kesempatan waktu ( sebenarnya jika ada bajet ), saya akan mendapatan rawatan dan penjagaan kesihatan dan kecantikkan kulit muka.

Mungkin bagi sesetengah orang terutamanya lelaki akan memandang remeh perkara ini namun bagi saya ianya penting saya menjaga muka saya kerana ia adalah "first impressions" apabila berjumpa dengan pelanggan atau bakal pelanggan.  Jika muka kelihatan bersih, tanpa "kawah-kawah gunung berapi @ bekas jerawat / jeragat", terbukti kita akan berasa lebih yakin untuk berhadapan dengan orang ramai terutamanya yang menjadi prospek kepada sesebuah perniagaan.

Walaupun anda bukan seorang usahawan atau peniaga, namun jika kesihatan muka anda dijaga, ketahuilah bahawa orang-orang yang berdampingan dengan anda akan lebih senang bergaul dalam urusan seharian anda.  Dengan ini barulah kita akan bertambah yakin dengan diri sendiri dan hidup terasa "happy" hanya dengan menjalani proses penjagaan kesihatan, kebersihan dan kecantikan muka.  Cantik adalah perkara subjektif.  Cantik bagi orang perempuan dan lelaki adalah perspektif yang berlainan.  Cantik bagi perempuan adalah untuk dipikat dan pada lelaki cantiknya untuk memikat...

Saya mendapatkan rawatan tersebut di Crsytal Spa & Beauty (milik sepenuhnya Melayu) beralamat di 1.8 G1 & G2, Tingkat 1, Kompleks Hang Tuah (Kompleks MARA lama), Jalan Hang Tuah, 75300 Melaka.  Ianya bersebelahan dengan Klinik Pergigian Persona.  Produk utama yang digunakan oleh Crsytal Spa & Beauty ialah Cleopatra Cosmetics dan High Desert ( HDI ).


**p/s :  walaupun muka bersih dan cantik, hati mesti mahu baik tau...

Bersahur dengan nasi goreng cina berserangga?

 
**Gambar hiasan
Assalamualaikum...

Pagi tadi saya bersahur di Restoran _ _ _ _ _ _ _ _ 24 jam yang ada di Jalan Hang Tuah, Melaka.  Nak makan roti canai dah habis, jadinya saya pesan nasi goreng cina dan sirap ais.  Layanan pekerja di restoran berkenaan pula seolah-olah pada masa itu ada ramai pelanggan sedangkan hanya ada saya seorang sahaja pelanggan yang bersahur.  Sibuk mereka hanyalah menonton dvd.

Sikap acuh tak acuh mereka dalam memberi layanan saya boleh bersabar lagi.  Tetapi yang merosakkan "mood" nak makan ialah baru je sesuku sudu saya menyuapkan nasi goreng cina itu, saya dapati ada ulat ataupun serangga berwarna putih dan sedikit berbulu yang saya kira biasa dilihat pada kayu-kayu lapuk atapun buku-buku lama. Lalu saya memanggil "chief" dari kalangan pekerja restoran berkenaan dan menunjukkan padanya masalah yang ada.  Katanya pula itu adalah ulat / serangga dari sayur yang dicampurkan.  Dan tukang masakpun memasak nasi goreng cina yang lain tapi kali ini tanpa sayur.  Masa nak bayar, harganya sedikitpun tak dikurangkan, masih lagi ikut harga yang asal.  Sepatutnya berilah diskaun kerana saya membuat teguran secara berhemah atas kesilapan mereka itu.

Oleh itu nasihat saya agar semasa anda menjamu selera sewaktu bersahur atau berbuka puasa, perhatikan dengan teliti nasi atau makanan yang anda ambil sebelum menyuapkan ke mulut kerana kemungkinan ada "bahan tambahan" yang anda tidak ingini...

**p/s : ada lagi masalah dan kes-kes kebersihan dan keselamatan makanan minuman di kedai-kedai makan ni yang tersembunyi, itu belum lagi termasuk di restoran mamak yang "dicintai sangat" oleh sebilangan orang Melayu.

**saya dah lama tak jamah roti canai mamak... taubatlah nak singgah lagi ke restoran / kedai makan mamak... ya ampun...!!!

Lailatul Qadar : Permata Ramadhan

 

Assalamualaikum...


Malam sepuluh terakhir Ramadhan merupakan antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan permata yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah S.W.T :


Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar...".


KELEBIHAN DAN MANFAAT

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas. 


Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.


Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.


Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. 


Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu..."



Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:


Maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain..."


Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. 


Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. 


Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat. 


 
DOA JIKA BERTEMU MALAM LAILATUL QADAR

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:


Maksudnya : " Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku... "

PEMBAZIRAN: antara erti bersyukur, yang haq dan yang bathil

 
**Sekadar gambar hiasan | sumber : Google

**Keinsafan
Assalamualaikum...


Dalam menghadapi himpitan perbelanjaan harian yang semakin meningkat akhir-akhir
ini, pelbagai pihak menyeru agar kita sebagai pengguna berjimat cermat atau
berhemat ketika berbelanja.  Kenaikan harga petrol, peningkatan harga barangan
runcit (beras, tepung dan gula) dan barangan basah seperti (ayam, ikan, daging dan sebagainya) mendorong pengguna untuk berhati-hati sewaktu merangka atau merancang bajet kewangan mereka.

Agama Islam begitu menitikberatkan persoalan berhemat dalam membelanjakan harta atau wang, dan Islam menegaskan agar umatnya tidak melakukan pembaziran yang hanya akan mendatangkan kerugian.  Pembaziran diambil dari kalimah Bahasa Arab iaitu yang bermaksud membazir atau boros.  Manakala dari sudut istilah Syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak (kebenaran).

Dalam membincangkan tentang perihal pembaziran, ramai di kalangan kita yang tersalah anggap hingga menganggapkan ruang lingkup pembaziran hanya wang dan harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luat skopnya dan ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat material (kebendaan) dan bukan material.

Perkara-perkara yang berbentuk kebendaan meliputi harta benda seperti wang ringgit, makanan, minuman, pakaian, air, tenaga (elektrik dan minyak petrol) dan sebagainya. Manakala pembaziran dari sudut bukan material pula termasuklah tenaga, masa, perbuatan manusia, kuasa, usia dan sebagainya.

Harta benda, wang, pangkat, pakaian, kenderaan, kediaman, tenaga, masa dan sebagainya  itu adalah nikmat pemberian Allah SWT yang wajar kita hargai dengan memanfaatkannya ke jalan yang baik.
 
Gambar dan video di awal artikel ini adalah sebagai renungan bersama.  Ada masanya gambar dan video boleh memberikan penjelasan dengan lebih baik mengenai sesuatu perkara, sama ada ianya dusta atau kebenaran.  Hayati, renungkan serta ambil ikhtibar pada gambar dan video di atas.  Adakah ianya berlaku di persekitaran anda?

Kadar Zakat Fitrah bagi setiap negeri di Malaysia Tahun 2011

 

Kadar Zakat Fitrah Tahun 2011 Yang Di Tetapkan Mengikut Negeri Di Malaysia
  • Johor = RM 7.50 (bagi yang makan beras super dan RM5.00 bagi yang makan beras tempatan)
  • Kedah = RM 7.00
  • Kelantan = RM 7.60
  • Melaka = RM 6.30
  • N. Sembilan = RM6.50
  • Pahang = RM7.30
  • Perak = RM7.00
  • Perlis = RM5.00 / RM7.00
  • P.Pinang = RM7.30
  • Sabah = RM7.70
  • Sarawak = RM7.50
  • Selangor = RM5.20
  • Terengganu = RM6.00 / RM7.00 / RM8.00
KADAR ZAKAT FITRAH WILAYAH PERSEKUTUAN
  • Kuala Lumpur = RM5.20
  • Labuan = RM5.20
  • Putrajaya = RM5.20
Semoga wang zakat untuk tahun ini dapat dipeliharadiuruskan dan diagihkan dengan baik tanpa berlakunya ketirisan di mana-mana bahagian pengurusan serta pentadbiran pusat zakat.  

Ini amat penting bagi mengelakkan orang miskin (beragama Islam) di Malaysia pergi ke gereja untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi sara hidup ataupun menghindari ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke tuisyen percuma yang dikelolakan oleh pendakwah kristian.

Pandangan peribadi "rakyat merdeka" mengenai isu dakwah kristian di kelas tuisyen percuma



Assalamualaikum....


Isu yang berkaitan dengan agama sekali lagi menggemparkan umat Islam di Malaysia.  Setelah isu murtad yang tiada kesudahan, kini timbul pula isu mengenai dakwah kristian pada murid-murid sekolah rendah yang beragama Islam di tuisyen percuma.

Janganlah "buat-buat" terperanjat kerana hal sebegini sudah berpuluh-puluh tahun telah berlaku, hatta sejak zaman pasca kemerdekaan lagi.  Ini membuktikan selagi negara Malaysia mewarisi dan menggunapakai undang-undang pentadbiran dari penjajah kristian yang menjajah "Semenanjung Tanah Melayu" suatu ketika dahulu, semakin banyak dan merebaklah isu sensitif ini ke dalam kehidupan umat Islam Di Malaysia. 

Dan ingatlah, bukan semudah itu pihak penjajah kristian dahulu untuk memberikan kemerdekaan kepada kita.  Muslihat mereka ialah memberikan "laungan keramat kemerdekaan" hanya kepada pihak yang boleh mengekalkan pengaruh dan kepentingan cita-cita awal mereka untuk memperluaskan ajaran kristian.  Sebab itulah mereka berhabis-habisan untuk mencari jalan dari Eropah ke arah Asia terutamanya di bahagian Nusantara ini.  Dan kini usaha mereka telah membuahkan hasil.

Mengenai tuisyen percuma yang dijadikan medium untuk menerapkan ajaran kristian secara halus, sikap ibu bapa juga harus diambil kira.  Janganlah disalahkan seratus peratus pada orang-orang yang berbuat demikian kepada anak-anak Islam kita kerana mereka sekadar "menjalankan tugas mereka" bagi menyebarkan ajaran yang telah dicampuri "tangan-tangan manusia".   

Ibu bapa terutamanya yang berbangsa Melayu, juga memainkan perananAsalkan percuma, mereka begitu ghairah merebut peluang yang kononnya peluang bertuah itu tanpa menyelidiki siapa disebalik penganjuran tuisyen percuma itu, siapa tenaga pengajar di tuisyen berkenaan.  Bila sudah terjadi permasalah begini, barulah sibuk-sibuk nak siasat.  Bila ada pusat didikan yang berkonsepkan keIslaman dituduh macam-macam serta dipinggirkan.

Masalah orang Melayu ini ialah "pantang" tengok dan tahu perkara percuma, jualan murah, lori beras terbalik dan bila ada orang lain senang, mulalah dengan sikap sisi gelap mereka itu.  Seperti kata si Mamak, "Melayu mudah lupa...".  Contohnya permasalah Melayu di Pulau Pinang, ia telah berlaku sebelum pentadbiran DAP dan pada ketika itu siapa yang menguasai Pulau Pinang? Adakah dia bernama "Muhamad Koh Tsu Koon"  dari parti Islam?, tidak dia hanya seorang Buddha dari parti yang bersekutu dengan parti utama negara.  Melayu memang mudah lupa kerana hanya dengan berbekalkan kain batik dan pelikat, duit beberapa puluh ringgit, terus saja senyap dan boleh dibeli undinya dengan konsep "I help You, you help me...", suatu konsep yang dijenamakan semula di kepulauan Borneo.

Bila melihat atmosfera semasa, ia seakan memberi klu bahawa pilihanraya sudah semakin hampir kerana pihak yang selama ini menterdarah tanah dan hak Melayu serta Islam, yang meluluskan lesen judi serta arak dan menerima cukai judi serta arak sebagai sumber pendapatan negara Islam Malaysia, kini cuba memperlihatkan mereka sebagai hero bangsa dan agama.  Puak-puak ini beranggap mereka sahaja yang betul dan pandai, orang lain salah dan bodoh...

Membeli pakaian pra perayaan

 

Assalamualaikum....

Dah mula buat persiapan raya...? Membeli pakaian mungkin...?.  Gambar-gambar di atas merupakan apa yang saya beli semalam (15 Ogos 2011) sempena pra raya.  Mungkin lagi beberapa hari nak raya saya akan beli lagi tapi lebih kepada baju.  Rasa puas kerana duit yang saya gunakan untuk membeli barang-barang berkenaan adalah hasil dari perniagaan kecil yang saya usahakan.

Dua lokasi belian barangan berkenaan adalah di Pasaraya Borong Sakan Sdn Bhd (milik Haji Umar Yatim) yang beralamat di No.46-50, Jalan BPM 5, Taman Bukit Piatu Mutiara, 75150 Melaka dan Mydin Wholesale Emporium Melaka beralamat di No.2A-26, Jalan PMS 3, Plaza Melaka Sentral, 75400 Melaka.  Dua lokasi ini amat bersesuaian untuk kita berbelanja pada harga yang menjimatkan  dalam menyediakan persiapan untuk sebarang perayaan.

Saya akui, tempat-tempat harga murah macam ni mungkin tidak disukai oleh sesetengah mereka yang "banyak duit", namun kualiti barangan yang ditawarkan adalah berpatutan dengan harganya. Tagline yang saya gunakan untuk situasi begini ialah "biau murah asal bergaye...".

Jika beli pakaian yang mahal-mahal, akhirnya bila dah koyak atau dimakan serangga, akan dibuang juga atau dibuat alas kaki dan pembalut buah.  Beli yang murahpun masih tetap cantik, selesa dan kualiti yang memuaskan.

Tapi kalau ada kemampuan atau lebih dana untuk membeli, setelah segala perkara yang lebih penting telah diselesaikan, maka bolehlah kalau nak membeli pakaian yang lebih mahal dari biasa, namun berpada-padalah.

Syarat dan jenis zakat

 


Assalamualaikum...
Apabila tiba ramadhan, pastinya zakat menjadi salah satu kemestian untuk segera ditunaikan.  Pemberian bantuan kepada orang susah atau miskin tidak boleh dianggap zakat kerana ianya tergolong dalam amalan bersedekah.

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Ianya diwajibkan ke atas tiap-tiap orang Islam yang cukup syarat-syaratnya. Rukun yang lain ialah Syahadah, Sembahyang, Puasa dan Haji ke Mekah. Zakat adalah diwajibkan ke atas Muslim yang layak untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan bantuan. Umat Islam mula diwajibkan berzakat pada tahun kedua Hijrah.

Ianya boleh ditunaikan di pejabat-pejabat jabatan agama Islam negeri dan daerah masing-masing serta di kaunter-kaunter yang biasa kelihatan berdekatan dengan bank atau di pusat membeli belah.  Tetapi sila pastikan pihak yang menerima pembayaran zakat itu adalah wakil sah yang telah diberi mandat oleh pejabat agama negeri masing-masing

Antara syarat wajib berzakat ialah :

Islam
Zakat hanya dikenakan ke atas orang Islam. Bagi perniagaan perkongsian orang Islam dengan bukan Islam hanya peratusan ekuiti orang Islam sahaja diambilkira untuk zakat.

Merdeka
Hamba abdi tidak wajib berzakat kecuali zakat fitrah. Walau bagaimanapun tidak timbul persoalan hamba abdi masa kini, tetapi syarat merdeka masih lagi dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib berzakat.

Milik Sempurna
Harta yang dimiliki mestilah sempurna dalam kekuasaan seseorang dan tidak bersangkutan dengan orang lain. Pemilik juga dapat memperlakukan dan memperolehi manfaat daripadanya.

Cukup Nisab
Nisab adalah paras nilai minima yang menentukan samada wajib atau tidak sesuatu harta dikeluarkan. Nisab adalah bersamaan dengan 85 gram emas nilai semasa. Nilainya lebih kurang RM 10,300 (bergantung kepada harga semasa emas)

Cukup Haul
Cukup haul bermaksud genap setahun harta disimpan.

Niat Untuk Berniaga
Syarat ini hanya bagi zakat perniagaan sahaja.


Jenis zakat :

1.Zakat Pendapatan
-Zakat Gaji dan Pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan sebagai balasan perkhidmatan yang berupa gaji, upah, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk perolehan semasa hidup, bersara atau mati dan apa jua pendapatan berdasarkan kerjaya atau sebagai ahli profesional.

2.Zakat Perniagaan
-2.5% atas harta perniagaan yang layak dizakatkan tertakluk kepada nisab.

3.Zakat Wang Simpanan
-Wang yang disimpan di dalam akaun simpanan, akaun simpanan tetap, simpanan semasa, ASB serta lain-lain bentuk simpanan di bank atau mana-mana institusi kewangan.

Zakat dikenakan ke atas jumlah baki terendah dalam tempoh setahun simpanan apabila cukup nisab dan haulnya serta menyamai atau melebihi nisab.

4.Zakat Saham
-Dr. Yusoff Al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqh-Zakat mendefinisikan saham sebagai kertas berharga yang diperniagakan dalam transaksi-transaksi perdagangan khususnya di Bursa Malaysia.
  • Bagi sijil-sijil saham dalam sesebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, ianya mudah untuk dijadikan wang tunai dibandingkan dengan saham dalam syarikat yang tidak disenaraikan di Bursa Malaysia atau saham dalam koperasi.
  • Saham yang dibeli dari wang sendiri sahaja dikira manakala bahagian yang dibeli melalui pinjaman hendaklah ditolak kerana dikira tidak sempurna milik.
Saham yang disimpan di dalam syarikat yang membayar zakat perniagaan tidak perlu dizakatkan lagi.

5.Zakat KWSP
-Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diwajibkan zakat apabila dikeluarkan daripada simpanan tersebut. Ia berkonsepkan zakat simpanan atau mata wang. Jumhur Ulama' Fiqh sependapat mengatakan wajib zakat pada mata wang. Mata wang tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh oran-orang Arab terdahulu dalam berurusniaga sebelum kedatangan Islam. Mata wang emas dikenali sebagai dinar dan mata wang perak sebagai dirham. Setelah Rasulullah S.A.W diutus menjadi Rasul, maka dinar dan dirham telah diiktiraf sebagai mata wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurusniaga. Kewajipan zakat wang simpanan ini bersandarkan dalil-dalil Al-Quran dan Hadith Nabi S.A.W.

6.Zakat emas
-
Emas adalah jenis-jenis logam yang diwajibkan zakat. Kewajipan zakat ke atas logam ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. bermaksud:
“Dan mereka yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (mengeluarkan zakat) maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang pedih, pada hari emas dan perak dibakar di dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi dan rusuk mereka dan belakang mereka seraya dikatakan kepada mereka inilah harta yang kamu simpan selama ini buat dirimu, maka rasailah balasan apa yang kamu simpan dahulu”.
At- Taubah; ayat 34-35
Zakat emas dikira dalam dua keadaan.

Emas yang tidak dipakai (disimpan)

Emas yang tidak digunakan atau dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Jika nilai emas tersebut menyamai atau melebihi 85gram (nisab), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5%.

Contoh:

2.5% x nilai emas yang disimpan (jika melebihi nisab)
Contoh : RM6,000 x 2.5%
Jumlah zakat    = RM 150

Emas yang dipakai

Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) walaupun sekali dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Tetapi jika ianya melebihi ‘uruf’ (nilai kebiasaan pemakaian masyarakat setempat), maka ia diwajibkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai uruf. Nilai yang diambilkira adalah nilai semasa emas sahaja iaitu tidak termasuk batu permata.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menetapkan kadar uruf adalah 150 gram emas.

Contoh:

Berat Emas yang dipakai = 250 gram
Uruf Emas = 150g ram

Berat Emas yang layak dizakat = 250 gram - 150 gram = 100gram
Zakat yang wajib dibayar = 2.5% x (100 gram x harga semasa)
= 2.5% x (100 gram x RM 77.16)
= RM 192.90


7.Zakat perak 
-
Menurut hukum syarak, logam perak adalah termasuk dalam kategori jenis-jenis harta yang dikenakan zakat. Pada umumnya barang-barang logam perak yang digunakan oleh manusia terdiri dari 4 bentuk utama:

   Jongkong perak
   Matawang perak
   Perkakasan atau perhiasan rumah daripada perak
   Barang perhiasan / barang kemas perak

 Nisab dan kadar zakat perak

Ijma, ulama telah menetapkan nisab perak sebanyak 200 dirham iaitu bersamaan 595 gram.

Dalil zakat perak

Sabda Rasulullah SAW

Maksudnya:
"..Tidak diwajibkan zakat pada perak jika kurang daripada 5 awsuq (bersamaan lebih kurang 930 liter)". (Riwayat Muslim)
Maksudnya:
"Pada perak (zakatnya) 1/40...". (Riwayat Al-Bukhari )

Contoh pengiraan zakat perak

Berat barangan perak x harga semasa x 2.5%
Katakan Ahmad menyimpan 1,000 gram perak (telah melebihi nisab)

Kadar zakat = 2.5%
* harga semasa perak (contoh) = RM 0.62

Zakat =  1,000 gm x 0.62 x2.5%
=  15.50


8.Zakat pertanian
-Zakat yang dikenakan ke atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sebuah negeri yang telah cukup nisab dan haulnya. Hasil tanaman yang wajib dizakatkan adalah bijirin-bijirin dari jenis makanan asasi yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan seperti padi, kurma, jagung, gandum dan sebagainya.

Dalil Zakat Pertanian

Firman Allah SWT bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu....". (Surah Al-Baqarah:267)

Syarat wajib zakat pertanian

  1. Islam
  2. Sempurna milik
  3. Merdeka
  4. Cukup Nisab - * cukup sukatan iaitu 5 Ausuk bersamaan 363 gantang Malaysia)
  5. Biji-bijian dan buah-buahan hendaklah ditanam oleh manusia
* Hasil tanaman yang tidak asas seperti kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam, tebu, koko dan lain-lain buah-buahan dikenakan zakat perniagaan jika diperniagakan.

9.Zakat ternakan
-Zakat ternakan adalah zakat yang wajib dikeluarkan apabila sempurna syarat-syaratnya. Haiwan ternakan yang diwajibkan zakat adalah kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan unta.

Dalil wajib zakat ternakan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Daripada Muaz Ibnu Jabal, beliau berkata: Baginda Rasulullah SAW telah mengutus aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku dari setiap 40 ekor lembu, satu ekor lembu *musinnah (seekor lembu betina yang umurnya mencapi 3 tahun) dan dari tiap-tiap 30 ekor lembu, **tabi`, atau tabiah (satu ekor lembu jantan atau betina yang mencapai umur 2 tahun)." (Riwayat Ibnu Majah)
* Musinnah: Lembu betina berumur 2 tahun lebih
** Tabi`: Lembu jantan berumur 1 tahun lebih

Syarat wajib zakat ternakan

  1. Islam
  2. Sempurna Milik
  3. Merdeka
  4. Cukup Nisab (Genap Setahun)
  5. Binatang ternakan yang tidak digunakan untuk bekerja seperti membajak sawah, menarik kereta dan sebagainya.

Keterangan

Binatang yang hendak dizakatkan hendaklah yang sempurna dan tidak cacat seperti hilang kaki atau tangan dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk-buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau jadikan pemberian zakat." (Surah Al-Baqarah:267)





Telefon Mudah Alih Southern BM Mobile : Model 3000A

Klik pada gambar di atas untuk ke laman web SBM   

Assalamualaikum...

Pada tarikh   20/07/2011 yang lalu, saya telah membeli telefon keluaran SBM (Southern BM Mobile) Model 3000A. Lantaran kesibukan urusan kerja, terus terlupa nak buat artikel untuk "hp" baru ini yang telah menjadi milik saya.  Baru malam ni rajin nak buat...   Berikut adalah gambar "hand phone" tersebut beserta spesifikasinya :



Spesifikasi 3000A :
  • Dual sim dual standby
  • Language : English / Malay
  • FM radio
  • MP3 / MP4
  • Digital camera
  • Flashlight (lampu picit da....)
  • E-book reader
  • Bluetooth
  • Support 4GB T-Flash (memory card)
  • Facebook function 
  • Internet Service 

Komen saya :

-Hp ni sudah hampir lengkap untuk gaya hidup zaman kini kerana ia boleh membuat pelbagai aktiviti yang menjadi hobi pengguna gajet mudah alih ini seperti mendengar muzik, merakam suara, merakam gambar, berkongsi fail mp3 dan mp4, cuma kekurangannya hanya tidak boleh membuat rakaman video.

Tapi sesuailah dengan harga yang ditawarkan.  Dengan RM135.00 (setelah membuat tawar menawar), saya dapat memiliki hp ini. Ditambah lagi dengan kemampuannya menghidupkan dua kad sim serentak.  Cuma saya perlu membiasakan diri saya dengan sistem sms nya kerana atas sebab susunan menu dan fungsi dalam aplikasi sms serta "keypad" model 3000A ini telah mengurangkan kepantasan saya menaip sms.  Mungkin kerana sebelum ini telah terbiasa dengan model-model telefon keluaran Nokia.

Sebagai tambahan ciri-ciri yang sedia ada, perkara yang menarik pada telefon ini ialah ianya menggunakan charger dan bateri yang serasi dengan keluaran Nokia.  Jadinya tiada masalah dan mudah kalau nak gantikan bateri baru ataupun tertinggal charger bila keluar ke mana-mana.  Atas faktor inilah yang menjadi antara penyebab utama saya memilih serta membeli sesebuah model telefon selain dari pada bajet kewangan yang ada.

( Bagi yang sudah biasa dengan hp Nokia, tulisan pada keypad dah tak kelihatanpun masih boleh dengan pantas menaip sms dan hafal susunan huruf dan nombornya... )

Irfan Khairi : Online Seminar (Webinar) FORMULA FACEBOOK

 

Assalamualaikum....
Pada hari ini saya telah mengikuti mengikuti seminar atas talian melalui laman web yang dibuat oleh Irfan Khairi.  Beliau menyampaikan tajuk berkaitan dengan pemasaran dan cara menjalankan perniagaan yang sebenar serta betul melalui laman web sosial Facebook.

Beliau berkata adalah cara yang salah jika kita hanya "tag"  sahabat-sahabat dalam senarai Facebook dengan barang-barang yang dijual.  Ini hanya menimbulkan rasa tidak selesa pada mereka yang di tag dan merupakan salah satu bentuk gangguan dengan meng "tag" secara rambang.

Selain itu Irfan Khairi juga berkongsi beberapa tips perniagaan online, potensi mengubah minat menjadi perniagaan serta penggunaan "Google Keyword Tool" untuk mengkaji permintaan dalam pasaran.

Salah satu nasihat Irfan Khairi, jangan hanya promosi sahaja di Facebook, anda perlulah memperbanyakkan perkongsian informasi dengan teknik Facebook 9 : 1 ( 9 kali anda berkongsi maklumat kebaikan / yang berguna,  1 kali anda mempromosikan perniagaan anda ).  Paling penting jangan suka main tag membuta tuli.

Pada pemerhatian saya pula selama ber "facebook", ada orang yang sudah lama tidak berhubungan dengan saya, tiba-tiba nak borak dengan saya serta bertanyakan soalan-soalan yang saya rasa mempunyai niat terselindung.  Rupa-rupanya dia semata-mata nak promosikan pada saya bisnes yang dia jalankan.

Ini adalah tidak elok dari segi moral dan emosi kerana saya rasa dia tidak ikhlas menegur saya di facebook dan saya rasa tertipu.  Jika anda rasa tertipu, adakah anda ingin meneruskan perbualan atau perhubungan anda dengan orang yang terus menghubungi kita hanya nak promosi bisnes...?  Nilai penghargaan persahabatan tiada diamalkan...

Membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadhan Peringgit, Melaka

 
Bazar Ramadhan di Peringgit, Melaka

Assalamualaikum....

Artikel ini dikarangkan dikala menantikan azan maghrib dan masuknya waktu berbuka puasa bagi negeri Melaka.  Juadah ini di beli di Bazar Ramadhan di Peringgit, Melaka  yang berhampiran dengan Hospital Besar Melaka dan laluan ke arah Ayer Keroh melalui Bukit Sebukor.

Juadah yang dibeli ialah Nasi ayam serta air tembikai susu.  Kesemuanya berjumlah RM5.50.  Pada pemerhatian saya harga jualan adalah pada tahap "biasa" tetapi yang masih menjadi soal pokok dalam perniagaan jenis penjajaan ini ialah kebersihan.

Saya memerhatikan ada penjual yang masih tidak sungguh-sungguh menjaga kebersihan.  Ada peniaga atau penjual yang membiarkan sahaja lalat menghinggapi juadah yang dipamerkan.  Malah saya sendiri telah menegur seorang penjual makanan mengenai seekor lalat yang "baik punya parking" di celahan ayam jualannya.  Nampaknya penjual itu tidak ada satu alat mahupun usaha untuk menghalau lalat dan lain-lain serangga yang cuba datang menghinggapi makanan yang dijualnya. 

Di tempat seperti bazar ramadhan ini, boleh menjadi tempat "jejak kasih" kerana ada kemungkinan kita akan berpeluang untuk berjumpa dengan kenalan yang sudah beberapa lama tidak ketemu, juga saudara mara yang dah beberapa purnama tidak lihat "batang hidungnya".

Kepada sahabat-sahabat blogger, berhati-hatilah ketika membeli makan di bazar ramadhan.  Biarlah kita berjalan jauh, mencelah-celah di dalam kesesakan manusia asalkan makanan dan minuman yang kita beli itu bersih dan bebas dari sebarang jangkitan kuman, insya Allah....


**p/s : "jodoh" juga boleh ditemui di bazar ramadhan

Seri Najwa : Hilang dipercayai diculik

 

BUDAK HILANG, DIPERCAYAI DICULIK

Pada 04/08/11 di Tualang Sekah, Malim Nawar, Perak


Nama : Seri Najwa Ferda Bt. Hassan

Umur : 17 Tahun
Tinggi : 156

Kepada sesiapa yg ternampak atau memiliki info sila hubungi


Puan Seri Wangi (Ibu) - 017-5999137

Ameerul (Abang) - 017-5351451
Sarjan Norhisham - 019-5162896
Adzam Anuar (Bapa Saudara) - http://www.facebook.com/pr​ofile.php?id=811746307

Atau hubungi mana2 balai polis yg terhampir.


Kerjasama dari semua pihak sangat di harapkan.  Selamatkan bangsa Melayu!!!

Seminar Online (percuma) Bersama Irfan Khairi : Formula Facebook

 
Seminar Online Bersama Irfan Khairi
Formula Facebook
Tarikh: Sabtu, 13hb Ogos 2011
Waktu: 10.00 pagi - 11.00 pagi
Tempat: Di rumah anda atau di mana-mana!
 
 
Sesi percuma ini adalah ekstrak daripada sesi Formula Facebook yang telah beliau kendalikan di Kuala Lumpur dan beberapa kawasan berhampiran yang telah dimanfaatkan oleh beribu peserta.
 
Sekiranya anda bebas dan mempunyai masa terluang dirumah pada Sabtu pagi ini, apa kata ikuti Irfan Khairi secara LIVE hanya menggunakan talian Internet di rumah anda atau di mana juag kawasan yang mempunyai kemudaha internet yang memuaskan. 
 
Sekali lagi, sesi online seminar (webinar) ini adalah PERCUMA untuk anda. Sistem yang digunakan adalah canggih dan anda juga boleh berinteraksi bersama Irfan Khairi ketika itu secara live!
 
Bagi yang berminat, diminta anda melakukan pendaftaran dengan mengikuti langkah-langkah dibawah:
LANGKAH 1: KLIK DI SINI UNTUK DAFTAR SEMINAR ONLINE BERSAMA IRFAN KHAIRI
(Sekiranya ia mengatakan "You are already subscribe", jangan risau. Ia bermaksud anda telahpun daftar mungkin pada sesi-sesi yang lepas)
 
LANGKAH 2: Email akan dihantar kepada anda pada hari Khamis atau Jumaat nanti untuk memberi lokasi alamat laman web untuk akses online seminar tersebut.
 
LANGKAH 3: Sekiranya tidak menerima email, pada hari Sabtu jam 9.30 pagi, lawati Facebook di http://www.facebook.com/irfankhairi.fb dan  juga akan kongsikan laman web untuk akses online seminar di sana.
Dengan kecanggihan Internet, seminar tidak perlu dijalankan di hotel-hotel pun. Malah, melalui online, anda boleh menyertainya dari mana pun anda berada! Jadi, bagi mereka yang belum pernah menghadiri seminar Irfan Khairi akibat sering dikendalikan berjauhan dari tempat anda, harapnya dapat pula berjumpa dengan beliau secara online pada Sabtu ini. 
 
Mudahan sesi online seminar bersama anda dapat berjalan dengan lancar dan anda akan mendapat manfaat dan idea bagaimana anda boleh menjana pendapatan menggunakan Facebook dengan cara yang berhemah, berkesan dan betul...!

SMS ucapan sempena Ramadhan..


Assalamualaikum....

Sudah lebih seminggu kita berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh "baraqah", bulan keampunan yang menjadi milik Nabi Muhammad S.A.W, namun saya terlupa untuk terbitkan artikel ini.

Semenjak sms boleh dihantar antara penyedia perkhidmatan yang berlainan, ianya mula menjadi fenomena dalam masyarakat Malaysia.  Pelbagai cara, corak dan ayat yang direka serta disusun memperlihatkan kekretifan si pengirimnya.  Namun ada juga yang sekadar "foward" saja sms yang sudah diperolehinya sebelum ini pada rakan-rakan yang lain.  Kebiasaannya budaya berpantun akan mendominasikan sms ucapan yang dihantar.

Menjelang sesuatu peristiwa seperti ramadhan ini, maka acapkalilah telefon mudah alih kita akan "bersuara" menandakan ada mesej "masuk...".  Jika anda seorang yang sememangnya gemar bersosial (tak semestinya berkaitan dengan hal yang negatif) ataupun popular, maka bertalu-talulah sms masuk memenuhi "inbox".

Pada artikel ini saya ingin berkongsikan sms yang saya dapat pada sebelum dan awal ramadhan.  Tiap satu daripadanya mempunyai beberapa versi berbeza.  Antara sms yang saya perolehi ialah :

Ramadhan akan tiba tidak lama lagi.  Oleh itu marilah kita :

1. Seting jiwa
2. Upgrade Iman
3. Download Sabar
4. Delete Dosa
5. Approve maaf
6. Hunting Pahala

dan...

Sujud dahi mencecah bumi,
Tanda syukur kebesaran Ilahi,
Ramadhan Al-Mubarak datang lagi,
Bersamalah kita menambah iman di hati...

Anda pula bagaimana..?  Sudi-sudikanlah berkongsi sms ucapan ramdhan yang anda perolehi di ruangan komen di bawah...  (itupun kalau sms tu ada simpan lagi...)

IDA : BLACK AND WHITE CONTEST

 
** Opss... ini bukan gambau gf saya tau, 
ini banner peraduan yang disediakan oleh penganjur.


 
 ** Suatu masa dahulu..., dipertandingkan waktu kini...
PESERTA KE 171


Assalamualaikum...

Pada hari ini saya telah "menghantar" penyertaan bagi peraduan yang dianjurkan di blog idafirdausi79.blogspot.com.  Peraduan ini berkisarkan tentang memperagakan  "gambau" yang hanya mempunyai warna hitam dan putih sahaja, yang menjadi tema peraduan.

Tarikh tutup peraduan ini ialah pada 12 Ogos  2011, hari Jumaat 11.59pm.  Hadiah yang disediakan adalah :


1. Coklat Ferrero Rocher



2. Patung  animasi / maskot Domo



3. Coklat buatan tangan

Promosi

Babab.net